Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menjawab soalan ketika menjadi tetamu jemputan pada program PBAKL2023- Coffee Talk #KitaSelangor Bukan Sekadar Slogan bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) di Pavilion Negeri Selangor, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur(WTC), Kuala Lumpur pada 2 Jun 2023.FotoMOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI sedia bantu kebajikan golongan kartunis, penulis memerlukan

Oleh Azian Aziz

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membantu golongan penulis dan kartunis yang memerlukan terutama di negeri ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan tersebut termasuk daripada segi kebajikan dan penerbitan karya atau promosi melalui Media Selangor.

“Inisiatif CSR ini memang banyak golongan yang telah disantuni tetapi mungkin ada yang tertinggal dan kita tak perasan umpamanya golongan sasterawan seperti kartunis dan penulis.

“Sebelum ini memang kita ada bantu artis veteran seperti penyanyi selepas ini insya-Allah kita akan berhubung dengan persatuan yang berkenaan dan lihat apa yang kita boleh bantu golongan kartunis dan penulis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program bual bicara ‘Coffee Talk’ bertajuk #Kita Selangor Bukan Sekadar Slogan yang membincangkan mengenai inisiatif-inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor melalui MBI.

Program bual bicara anjuran Perbandaran Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu berlangsung di Pavilion Selangor yang dibuka sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia di sini.

Dua kakitangan PPAS Hikmah Hassan dan Mohd Basli Mohd Shaari merupakan moderator program.

Ahmad Azri turut menghadiahkan beg cenderahati MBI mengandungi diari dan buku kepada penonton yang bertanyakan soalan mengenai inisiatif Kerajaan Negeri.

Pavilion Selangor merupakan ruangan Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai maklumat berkaitan kepentingan rakyat.


Pengarang :