Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tiga, kiri) menyampaikan cek cura sumbangan RM10,000 MBI kepada wakil Unit Khas Van Jenazah di Teluk Pulai, Klang, semalam. Foto Facebook Ahmad Azri Zainal Nor
AGENSISELANGOR

MBI sumbang RM10,000, tampung kos operasi Unit Khas Van Jenazah

Oleh IMAN IZZIQRY

SHAH ALAM, 20 JUN: Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) menerima sumbangan RM10,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam satu majlis ringkas di Teluk Pulai, Klang, semalam.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI berkata sumbangan diberikan berikutan kegigihan UKVJ membantu golongan kurang berkemampuan menguruskan kematian ahli keluarga secara percuma di Selangor.

“Tiada sebarang caj dikenakan kepada waris yang tidak berkemampuan untuk menguruskan jenazah ahli keluarga. Bahkan khidmat mereka juga turut digunakan pihak hospital dan polis.

“Hampir saban tahun, MBI membantu UKVJ dengan sokongan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri. Saya yakin amal baik dan khidmat bakti yang UKVJ paparkan adalah menepati fardu kifayah yang mungkin kita semua tidak mampu lakukan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor di Facebook, hari ini.

Sementara itu, UKVJ mengucapkan terima kasih kepada MBI kerana terus menyokong mereka melakukan kerja-kerja fardu kifayah itu.

“Team UKVJ mengucapkan jutaan terima kasih kepada MBI kerana menyalurkan sumbangan kos operasi kepada kami,” kata wakilnya di Facebook.

 


Pengarang :