Oleh IMAN IZZIQRY
SHAH ALAM, 19 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan sumbangan segera RM20,000 kepada Sekolah Kebangsaan Morib untuk membaiki bumbung rosak akibat ribut minggu lalu.
Ketua Tanggungjawab Sosial dan Korporat Komunikasi MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata sekolah tersebut antara yang terjejas teruk selepas dilanda ribut pada 15 Jun lepas.
“Pada Khamis yang lalu, saya melawat sekolah ini bersama wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin. Sekolah ini merupakan sekolah yang paling teruk dibadai ribut.
“MBI telah pun meluluskan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk pembaikan bumbung sekolah ini,” katanya di Facebook, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan Ahmad Azri kepada pihak Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah berkenaan hari ini sambil disaksikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Pada masa sama, Ahmad Azri memaklumkan menteri pendidikan mengumumkan peruntukan RM150,000 bagi membantu sekolah berkenaan membaik pulih infrastruktur yang terjejas.
“Tambahan RM20,000 sumbangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor seperti yang dimaklumkan oleh Dr Jafri Abu, Pengarah Pendidikan Negeri,” katanya.