Sekitar Majlis Penyerahan surat tawaran tender / sebut harga dan sesi bersama suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Dewan Bankuet MBSA pada 6 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA ingatkan kontraktor laksana kerja naik taraf ikut spesifikasi

SHAH ALAM, 7 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengingatkan 39 kontraktor yang dilantik agar menjalankan kerja naik taraf mengikut spesifikasi ditetapkan.

Datuk Bandarnya Dr. Nor Fuad Abdul Hamid berkata terdapat tiga jenis kesalahan ketidakpatuhan perolehan kerajaan dan sebarang salah laku akan dikenakan tatatertib.

“Pertama, kesalahan melanggar syarat pendaftaran seperti pemalsuan maklumat atau dokumen. Kesalahan lain menarik diri atau menolak tawaran, melakukan pakatan harga dan gagal mematuhi obligasi kontrak.

“Kesalahan ketiga kesalahan jenayah sivil seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tender dan Sesi bersama Suruahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di sini semalam.

Menurut Nor Fuad kegagalan melaksana kerja dengan sempurna akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (PK8) dan menimbulkan masalah tuntutan bayaran.

Beliau menambah pihaknya turut memperkenalkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah untuk mengesan aktiviti salah laku dalam kalangan pihak kontraktor yang dianugerahkan tender.

“Pelan ini dibangunkan dari tahun 2022 sehingga 2026 untuk pengesanan awal sekiranya terdapat unsur rasuah dari peringkat jabatan dan penglibatan orang dalam seperti berkongsi maklumat dalaman.

“Sekiranya ada kes, kontrak akan dibatalkan dan laporan akan dibuat pada SPRM,” katanya.

 


Pengarang :