Tempat letak kenderaan dua jam yang disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Seksyen 9, Sham Alam. Foto MBSA
PBTSELANGOR

MBSA perkenal 67 petak letak kenderaan dua jam mulai 1 Julai

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 27 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperkenalkan tempat letak kenderaan dua jam setiap kenderaan di kawasan pentadbirannya mulai 1 Julai.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya memaklumkan pelaksanaan tempat letak kenderaan dua jam ini melibatkan 67 petak yang garisannya berwarna oren di lokasi tumpuan umum.

“Lokasi yang terlibat ialah Jalan Tengku Ampuan Zabedah D 9/D Seksyen 9 sebanyak enam petak, Jalan Pahat F 15/F Seksyen 15 (enam petak) dan Jalan Sepadu B 25/B Seksyen 25 (enam petak),

“Turut terlibat ialah Jalan Anggerik Vanilla N 31/N Seksyen 31 (18 petak), Jalan Prima R U13/R Seksyen U13 (24
petak), dan Jalan Prima F U13/F Seksyen U13 (tujuh petak),” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu pengguna hanya dibenarkan meletak kenderaan selama dua jam di petak tersebut dan boleh menggunakan semula petak yang sama selepas sejam berikutnya.

“Tiada pengurangan kompaun akan diberikan sekiranya pengguna tidak membayar caj parkir di petak ini, melebihi tempoh atau kesilapan membayar caj. Kadar dikenakan ialah antara RM30 hingga RM100 berdasarkan tarikh kompaun,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, orang ramai boleh menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking, Flexi Parking, GoPay, Jom Parking, Touch n Go eWallet dan Setel untuk membuat bayaran tempat letak kenderaan.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5522 2882 atau 03-5510 5133 sambungan 1658, 1540, 1521 dan 1757.


Pengarang :