EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (tengah) dan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim (dua, kanan) bergambar bersama peserta Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023 di Hotel Empire, Subang Jaya pada 12 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
PBTSELANGOR

MBSJ anjur forum libat urus bersama agensi, NGO, bincang isu haiwan terbiar

Oleh SHAMZ JOHAN

SUBANG JAYA, 12 JUN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) menganjurkan sesi libat urus pengurusan anjing terbiar di sini hari ini.

Datuk Bandarnya berkata forum berkenaan membuka peluang agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan (NGO) serta orang awam berkongsi idea bagi memperkasa tindakan dan kawalan anjing terbiar bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Setakat Mei lalu, MBSJ menerima 579 aduan berkaitan anjing terbiar, ia merupakan aduan tertinggi secara keseluruhannya.

“Forum ini diadakan bagi mendapatkan pandangan bukan sahaja PBT, tetapi NGO, komuniti dan agensi-agensi terlibat dalam pengurusan anjing terbiar seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyerahkan Jaring penangkap anjing kepada Pengarah Jabatan Kesihatan MBSJ Dr Roslan Mohamed Hussin pada Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023 di Hotel Empire, Subang Jaya pada 12 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Beliau ditemui pada Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023 yang dirasmikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han di Hotel Empire di sini.

Menurut Mohd Fauzi, isu pengurusan ini amat penting kerana risiko wabak bawaan anjing terbiar seperti Rabies selain isu perselisihan faham yang sering berlaku antara PBT dan masyarakat seperti NGO dan pencinta haiwan.

Tambahnya, hasil kaji selidik MBSJ bersama PBT, NGO, rumah perlindungan haiwan terbiar, komuniti penduduk dan orang awam mendapati antara cabaran utama termasuklah mengawal populasi anjing terbiar serta pengurusan kebajikan haiwan terbabit.

Selain itu, terdapat cadangan untuk menggalakkan program pengambilan haiwan peliharaan (Pet Adoption) seperti anjing dan kucing terbiar di pusat-pusat penjagaan dan pengurusan.

“Kita harap, satu resolusi terbaik dapat dicapai selaras dengan misi MBSJ untuk mewujudkan serta mengurus bandaraya dengan persekitaran sejahtera, kondusif dan inklusif untuk semua pihak,” katanya lagi.

Sebahagian daripada peserta Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023 di Hotel Empire, Subang Jaya pada 12 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Turut hadir pada forum berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN Dato’ Johary Anuar, Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali dan Pengarah Jabatan Kesihatan MBSJ Dr Roslan Mohamed Hussin.

MBSJ turut menerima sumbangan Jaring Penangkap Anjing daripada MDSB sebagai simbolik perasmian.


Pengarang :