BUDAYARENCANA

Menyeduh pagi

Oleh Mohd Azmen

Saya masih separa mamai, dan dia tanya, “Kopi?”

Saya hanya angguk sebelum ucap terima kasih padanya. Pagi tak terlalu awal dan masih banyak masa lagi sebelum waktu pejabat bermula, tapi saya masih lagi belum mahu terjaga. Tak pasti bagaimana saya harungi perjalanan ke pejabat pagi tadi, tapi boleh kata, ya, saya selamat tiba di pejabat dan kemudian ambil keputusan untuk duduk sendirian di pantri sebab tak ada orang lain duduk dan bersarapan di pantri – semua makan di kubikel masing-masing; macam tak ada otak. Tapi bagus juga sebab selalunya memang hanya akan ada saya di pantri pada setiap pagi atau tengah hari atau waktu minum petang, untuk membancuh kopi di dalam french press. Cuma sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kadang-kadang dia juga duduk di pantri waktu begini. Mulanya rasa seperti terganggu privasi saya tapi bila fikir semula, ini tempat awam, cuma saya yang sering merasakan seperti milik sendiri kerana tiada siapa yang gemar berada di pantri. Tapi selalunya dia duduk di meja yang berlainan dan kami tak menghadap masing-masing; dia akan leka menatal telefon bimbitnya, sementara saya sekadar merenung ke dalam cawan kopi.

Saya fikir perbualan kami juga minimal – seperti yang dia tegur saya tadi, begitu juga saya menegurnya setiap kali dengan, “Kopi?” sebelum bancuhkan kopi di dalam french press untuk kami berdua. Kebetulan french press di pantri adalah berkapasiti 8c, jadi cukup untuk memenuhkan kedua-dua cawan dua belas auns kami. Selalunya dia akan tunggu saya bancuh kopi sambil menatal telefonnya. Cuma kali ini, walau saya tiba lebih awal setengah jam tapi sepanjang masa di pantri ini saya hanya duduk merenung meja kosong di depan saya. Sampailah dia masuk ke pantri dan nampak saya begitu dan tegur saya dengan, “Kopi?”

Saya lihat dia buka kabinet, mencari biji kopi yang sudah siap kisar di dalam kabinet. Ada beberapa jenis biji kopi, dan selalunya saya akan kisar biji kopi itu cukup untuk bancuhan dua hari – kesegaran biji kopi selepas dikisar hanya bertahan untuk dua puluh empat jam, maknanya paling elok untuk tidak kisar sekali gus semua di dalam paket, sebaliknya hanya kisar seberapa banyak yang perlu dibancuh saja tapi saya seorang pemalas, jadi saya akan kisar untuk dua hari terus (dengan harapan bancuhan esok tak terlalu melewati dua puluh empat jam), dan bahagikannya kepada dua, satu yang saya terus bancuh di dalam french press, dan satu lagi yang saya simpan di dalam bekas kecil yang kedap udara dan tidak lut cahaya – ini untuk esok. Dan saya fikir, masih ada lagi biji kopi yang saya kisar semalam di kabinet.

Dia keluarkan bekas kecil itu dan kembali tutup kabinet.

Kemudian dia ambil french press, bilas dengan air paip di sinki, dan kemudian dia isikan dengan air panas dari alat penapis air di sebelah sinki. Isi dengan penuh, kemudian dia ambil penapis besi french press sebelum menaik dan menurunkannya di dalam gelas french press untuk beberapa kali. Bunyinya berkeriut sedikit dan waktu ini saya rasa seperti mula tersedar.

Dia tinggalkan french press dengan air panas di dalamnya untuk seketika, dan ambil dua buah cawan dari para-para. Ada beberapa buah cawan di situ, syarikat sediakannya sempena ulang tahun syarikat yang ketiga puluh dua. Sebenarnya ia hadiah untuk semua staf, cuma mereka ada banyak lebihan dan letakkannya di pantri untuk kegunaan semua. Ada satu cawan yang biasa saya gunakan, walaupun sebenarnya semua corak sama saja, tapi ada satu cawan, walau bukan kegemaran saya, yang sentiasa akan saya pilih untuk guna. Saya tak pasti bagaimana, tapi cawan itu ada sedikit kesilapan cetak pada logo syarikat, ia agak minimal, kalau tak perhatikan betul-betul mungkin tak akan perasan.

Kembali kepada dia, dia secara rambang ambil dua buah cawan dari para-para dan letak di sebelah french press. Sekarang dia ambil french press dan buang air panas di sinki, sebelum segera meletakkan biji kopi kisar ke dalamnya. Dia simpan kembali bekas kecil itu ke dalam kabinet dan kemudian ke penapis air, untuk isi air panas ke dalam french press.

Dia isi sedikit saja air panas, tak sampai separuh, mungkin dalam suku penuh sebelum dia hentikan air panas.

Dan ketika itu, dia pegang french press di tangan kiri (dia seorang yang kidal) dan kemudian memusarkan tangan itu dalam bentuk bulatan. Wangi aroma kopi mula merebak ke serata pantri dan ketika ini saya fikir saya telah tersedar sepenuhnya. Dia sempat menoleh kepada saya, mungkin perasan saya asyik perhatikan dia, dan senyum sambil kata, “Sabar ya?”

Dia tak lama memusarkan french press di tangan sebelum memenuhkannya dengan air panas. Dia ambil penapis besi dan meletakkannya di mulut french press. Kemudian dia duduk di meja sambil menatal telefon. Saya ikut keluarkan telefon bimbit dan periksa waktu. Ya, ia masih banyak masa sebelum masuk ke kubikel – cukup banyak, untuk kami duduk minum di pantri selama dua puluh minit. Saya masih lagi merenung kepada telefon bimbit bila selang empat minit kemudian, dia bangun dari kerusi, menekan rod halus panjang di penapis besi dan biji kopi yang berselerakan di dalam air panas mula ditolak ke bahagian bawah french press. Dia letak atas meja bersama dua buah cawan dan kemudian menuangnya. Kemudian dia bawa kedua-dua cawan itu kepada saya, dan sebelum menyerahkan satu kepada saya, dia meneliti cawan-cawan kopi itu. Dan dia serahkan cawan yang ada salah cetak logo pada saya.

Saya hampir mengatakan sesuatu kepada dia tapi dia terlebih dulu kata kepada saya yang saya boleh habiskan baki kopi di dalam french press kerana dia sudah mahu masuk ke kubikel dan bersedia, hari ini ada mesyuarat awal pagi katanya. Jadi saya hanya sempat kata terima kasih dan lihat dia berlalu bersama cawan kopi paginya.

Dan saya kembali sendirian di pantri – cuma kali ini saya ada secawan kopi. Perlahan saya hirupnya sambil mengingati kali pertama melihat dia membancuh kopi dengan french press, sela waktu tak berapa lama selepas dia menyertai syarikat (dan juga menyertai saya di pantri). Dan ia buat saya terfikir bagaimana bancuhannya sebentar tadi sangat ketara mirip setiap gerak-geri dan perinciannya seperti rutin saya menyediakannya pada setiap pagi.

Ya, setiap pagi waktu dia duduk di pantri dan pura-pura menatal telefon bimbit.

 


Pengarang :