Oleh Shamz Johan
SHAH ALAM, 25 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terpilih menerima Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC) Kerajaan Negeri Selangor 2023 bagi kluster Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) buat kali keempat kelmarin.
Yang dipertuanya berkata kemenangan itu adalah hasil komitmen seluruh kakitangan MPAJ dalam memberikan perkhidmatan terbaik.
“Seluruh warga MPAJ memberikan sepenuh jiwa, tenaga, masa dan fokus untuk mengekalkan gelaran ini sebanyak empat kali. Semoga kemenangan ini menjadi inspirasi dan motivasi kepada PBT lain,” kata Dr Ani Ahmad ketika dihubungi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/DSC_4006-1-500x333.jpg.webp)
Beliau berkata pencapaian itu juga hadiah terbaik buat PBT berkenaan yang akan menyambut ulang tahun ke-31 pada 1 Julai ini.
Sebanyak 43 agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri telah dinilai tahun ini melibatkan tiga komponen utama iaitu pematuhan, kualiti dan perkhidmatan teras.
Selain tahun ini, MPAJ pernah menerima anugerah sama pada 2015, 2018 dan 2021.
Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pula merangkul gelaran bagi kategori Pejabat Daerah dan Tanah sementara Jabatan Kehakiman Syariah Selangor memenangi kategori Lain-Lain Agensi.
Penyampaian hadiah disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam dan Pemimpin Masyarakat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.