Antara komuniti yang menjual minyak masak terpakai di program kitar semula di bawah Jabatan Pengurusan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSPPA) MPHS di Pusat Kitar Semula, Kuala Kubu Bharu pada 8 Jun 2023. Foto Facebook MPHS
PBTSELANGOR

MPHS kumpul 312 kilogram minyak masak terpakai, elak cemar alam sekitar

Oleh AZAMIN AMIN

KUALA KUBU BHARU, 9 Jun: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengumpulkan 312.04 kilogram minyak masak dalam penganjuran program kitar semula minyak terpakai di bawah Program Sisa Jadi Dana (Sidina) di sini semalam.

MPHS dalam kenyataan menerusi Facebook berkata 45 orang membawa minyak masak terpakai itu dengan harga belian ditawarkan RM2.30 untuk satu kilogram.

“Program Sidina merangkumi semua barangan yang boleh dikitar semula dan ia boleh menjadi punca pendapatan kepada komuniti serta merupakan salah satu inisiatif MPHS dalam menggalakkan ekonomi kitaran.

“Hasil maklum balas yang menggalakkan, program ini akan dilaksanakan secara bulanan di lima pusat kitar semula MPHS iaitu di Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali dan Bukit Beruntung (Adenium & Jalan Bunga Kertas),” kata kenyataan itu.

MPHS berkata komuniti digalak mengumpul minyak masak terpakai itu dan ia akan dibeli syarikat berdaftar di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Sementara itu Yang Dipertua MPHS menyeru isi rumah, penjaja dan komuniti mengumpul minyak masak terpakai itu bagi mengelak ia dibuang begitu saja kerana boleh mencemarkan alam sekitar.

“Amalan murni ini juga boleh menjana pendapatan tambahan bagi isi rumah khususnya kumpulan B40.

“MPHS akan terus komited dalam menyediakan platform bagi menggalakkan amalan kitar semula di kalangan komuniti dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF),” kata Mohd Hasry Nor Mohd.


Pengarang :