Banjir kilat berlaku di beberapa kawasan sekitar Bandar Bukit Raja, Klang dengan sebahagian tempat dinaiki air pada paras setengah meter pada 4 Jun 2023. Foto Facebook Wan Harmiyuddin
AGENDANASIONAL

MPK, JPS digesa selenggara sistem perparitan di Klang, elak banjir berulang

SHAH ALAM, 5 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa menyelenggara sistem perparitan sekitar Bandar Bukit Raja, Klang bagi mengelak kejadian banjir kilat berulang.

Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau berkata langkah sama juga perlu dilaksanakan pemaju perumahan sekitar kawasan terbabit dengan memastikan aliran air lancar.

V Ganabatirau bercakap kepada media ketika majlis berbuka puasa bersama Ahli Parlimen Klang di Klang pada 30 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

“Saya pernah isukan perkara ini. Minta pihak berwajib memandang serius isu sampah serta longkang sekitar kawasan berkenaan. Jika tidak diurus sebaik mungkin akan berlaku banjir kerana longkang dipenuhi sampah.

“Semalam, berlaku banjir kilat di beberapa lokasi malah sehingga hari ini ada air termenung di beberapa kawasan. Kita sedang usaha mengepam air ini keluar,” katanya kepada Selangorkini.

EXCO kebajikan itu juga berkata hujan lebat selama beberapa jam itu turut menjejaskan hampir 20,000 rumah sekitar Klang Utama dan Bukit Raja.

“Ada kediaman dinaiki air sehingga 0.5 meter. Jadi mereka terpaksa keluar dan berteduh di surau, masjid serta rumah jiran yang selamat.

“Isu bantuan kepada mangsa banjir ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Bandar Bukit Raja dibuka bagi menempatkan 78 mangsa banjir sekitar Bandar Bukit Raja, Klang pada 4 Jun 2023. Foto Facebook Wan Harmiyuddin

Malam tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hujan lebat awal pagi semalam menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekitar Klang.

Bagaimanapun kerja pengepaman yang dilakukan segera berjaya mengawal air naik dan surut pada sebelah petang.


Pengarang :