Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil kenyataan kakitangan pusat karaoke di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang dalam serbuan pada 3 Jun 2023. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

MPK sita dua pusat karaoke beroperasi tanpa lesen di Pulau Ketam

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 5 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita dua pusat karaoke di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang kerana beroperasi tanpa lesen dalam serbuan pada malam Sabtu lalu.

Serbuan diketuai Timbalan Yang Dipertua MPK Elya Marini Darmin dan pegawai Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pelabuhan Klang Inspektor Zamri Saan itu bermula jam 10 malam.

Menurut Elya Marini serbuan turut disertai anggota polis dari Balai Polis Pulau Ketam dan penguat kuasa MPK.

“Selepas mendapati dua pusat karaoke dikendalikan warga tempatan itu tidak berlesen, tindakan sitaan dibuat.

“Antara yang disita ialah pembesar suara, set karaoke dan televisyen,” katanya dalam kenyataan.

Elya Marini memberitahu sitaan dibuat di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1995 (pindaan 1998 dan 2001).


Pengarang :