Oleh FHATIHAH ZAKINAN
SHAH ALAM, 8 JUN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita sebuah tapak projek pembangunan di Taman Sri Nanding, Semenyih selepas didapati mengakibatkan banjir kilat dan lumpur di sekitar kawasan itu, baru-baru ini.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan, notis kedua Arahan Berhenti Kerja, notis tawaran kompaun dan Arahan Pembaikan mengikut Seksyen 71, Akta Jalan Parit Bangunan (AJPB) 1974 dengan nilai amaun RM250,000 dikeluarkan terhadap pemaju.
“Berdasarkan lawatan tapak pembangunan didapati tiada sistem perparitan yang sempurna dan kolam perangkap kelodak (silt trap), sehingga mengakibatkan banjir lumpur di Taman Sri Nanding,” katanya yang turut memaklumkan penghadang konkrit juga ditempatkan bagi menghalang pergerakan jentera keluar masuk ke laluan tapak berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman menambah, pihaknya juga meletakkan tong sampah pukal bagi kemudahan penduduk terutamanya mereka yang terjejas banjir kilat.
Ahli Parlimen Hulu Langat, sebelum ini mengarahkan tindakan segera oleh pihak berwajib bagi menyelesaikan isu banjir kilat dan lumpur sekitar Dusun Tua.
Mohd Sany Hamzan, mengeluarkan arahan itu selepas melawat beberapa kawasan terjejas membabitkan kira-kira 20 rumah sekitar Taman Desa Raya dan Taman Sri Nanding di Dusun Tua, serta Jalan Nuri Batu 10, pada 5 Jun lalu.