PBTSELANGOR

MPS keluar waran tahanan kepada pemilik harta gagal bayar cukai taksiran

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 1 JUN: Sebanyak 4,226 waran tahanan dikeluarkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kepada pemilik harta yang gagal membayar cukai taksiran sejak 1 April lalu.

Yang Dipertua Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata harta pemilik yang mempunyai tunggakan RM200 ke atas akan disita selepas tujuh hari waran diserahkan kecuali jika bayaran penuh dibuat.

“Kita sedang menjalankan penghantaran baki waran tahanan yang telah diproses kepada pemilik-pemilik harta yang tidak menjelaskan cukai.

“Mereka yang terlibat diingatkan supaya menjelaskan tunggakan cukai taksiran dengan kadar segera untuk mengelakkan harta alih milik mereka disita,” katanya dalam mesyuarat bulanan MPS semalam.

Tahun lalu, MPS menyita harta 2,651 pemilik yang gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran dalam tempoh tujuh hari selepas serahan waran tahanan.

Tambah Mohd Yazid, MPS juga menjalankan kempen membayar cukai taksiran melalui dalam talian menerusi MyMPS, Lazada, Shopee dan Cepat bermula Januari 2023.

Semakan dan bayaran boleh dibuat melalui pautan https://mymps.mps.gov.my. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Bahagian Hasil MPS di talian 03-6126 5961.


Pengarang :