EXCO Perumahan Rodziah Ismail (dua dari kiri) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan (kiri) menyampaikan sijil peneyerahan projek Skim Ceria di Dewan MPK, Pangsapuri Bukit Tinggi 1, Klang pada 15 Jun 2023. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri belanja RM123.7 juta baik pulih 357 pangsapuri sejak 2011

KLANG, 16 JUN: Sebanyak RM123.7 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi membaik pulih 357 pangsapuri kos rendah dan sederhana menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Ceria) sejak 2011.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail memaklumkan jumlah itu termasuk RM7 juta yang diperuntuk tahun ini bagi melaksanakan program sama di kawasan terpilih, yang boleh didaftar secara dalam talian.

“Berbanding negeri lain, hanya Selangor mempunyai skim bantuan baik pulih pangsapuri kos rendah yang konsisten dan sistem permohonan yang efisien,” katanya ditemui di sini hari ini.

Bercakap pada majlis simbolik penyerahan Skim Ceria di Pangsapuri Bukit Tinggi 1, beliau meminta badan pengurusan bersama (JMB) memohon inisiatif tersebut bagi menceriakan kawasan kediaman.

Rodziah berkata kebanyakan permohonan yang diterima membabitkan pembaikan struktur bumbung runtuh, lif rosak, tangki air, cat termasuk aduan pembuangan sampah dari atas pangsapuri.

“Bagi memastikan aduan lebih cepat diselesaikan, kita minta pengurusan JMB membuat permohonan menerusi sistem e-Ceria dan pihak berkaitan akan cuba selesaikan secara berperingkat,” katanya.

Skim itu diwujudkan bagi membaik pulih kerosakan harta bersama yang kritikal di pangsapuri, dengan syarat JMB perlu berdaftar selain mempunyai kewangan memuaskan.


Pengarang :