EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyerahkan Jaring penangkap anjing kepada Pengarah Jabatan Kesihatan MBSJ Dr Roslan Mohamed Hussin pada Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023 di Hotel Empire, Subang Jaya pada 12 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri hasrat bangun pusat setempat haiwan, tangani isu kucing, anjing terbiar

Oleh SHAMZ JOHAN

SUBANG JAYA, 12 JUN: Kerajaan Negeri akan bekerjasama bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan swasta untuk mewujudkan pusat setempat atau ‘First Shelter’ untuk haiwan terbiar seperti anjing dan kucing.

Mengambil konsep dari negara maju, EXCO kerajaan tempatan berkata beberapa kemudahan turut ditempatkan di pusat tersebut seperti pusat penjagaan haiwan terbiar, kedai haiwan peliharaan dan pusat informasi.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berucap pada Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023 di Hotel Empire, Subang Jaya pada 12 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM

“Pusat setempat atau ‘First Shelter’ ini merupakan konsep dari luar negara dan popular di Eropah yang mempunyai pusat pengambilan haiwan.

“Ia juga akan menempatkan hotel dan kafe haiwan peliharaan, klinik dan perkhidmatan veterinar termasuk taman untuk anjing dan kucing (Dog and Cat Park),” kata Ng Sze Han hari ini.

Bercakap dalam sidang media di Hotel Empire di sini, beliau menjelaskan orang ramai perlu diberi kesedaran dan didikan mengenai betapa pentingnya menjaga kebajikan haiwan termasuk haiwan terbiar.

“Idea ini juga mendapat sokongan NGO dan komuniti pencinta haiwan, kita perlu sedar haiwan juga mempunyai hak untuk dilindungi,” katanya sambil menambah satu lokasi di Sepang sudah dikenal pasti untuk pembinaan taman kucing namun masih dalam peringkat perbincangan.

Terdahulu beliau merasmikan Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023 anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor.


Pengarang :