Pembawa Jalur Gemilang jaguh Karate kebangsaan Sharmendran Raghonathan dan Kontinjen Malaysia berarak dengan berpakaian baju batik sebagai pakaian rasmi pada majlis pembukaan Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo Phnom Penh pada 5 Mei 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Olahragawan negeri antara atlet Selangor cemerlang di Sukan SEA

Atlet Selangor memperaga aksi cemerlang dalam aksi Sukan SEA di Kemboja antara 5 hingga 17 Mei dengan meraih empat pingat emas, 13 perak dan 19 gangsa.

Pada temasya edisi ke-32 itu, atlet karate R Sharmendran meneruskan penguasaan dengan mempertahan emas untuk empat kali berturut-turut dalam acara kumite lelaki 75 kilogram (kg).

Kejayaan atlet berusia 31 tahun itu sekali gus mengatasi pencapaian jurulatih kebangsaan Puvaneswaran Chandran yang tidak pernah tewas dari 2005 hingga 2009.

Turut meraih perak acara berpasukan lelaki, Sharmendran yang membawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan kali ini, memenangi emas pertama kali di Sukan SEA pada 2017 di Kuala Lumpur.

Ketekalan prestasinya menobatkan beliau sebagai Olahragawan Selangor yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Jun. Sharmendran menerima wang tunai RM10,000 dan trofi.

Atlet Karate negara R Sharmendran beraksi menentang atlet dari Kemboja dalam acara akhir Karate Kumite Individu Lelaki 75 kg pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh Kemboja di Chroy Changvar Convention Center pada 7 Mei 2023. Foto BERNAMA

Seorang lagi atlet karate Shahmalarani Chandran, 24, pula meraih emas pertama negara menerusi acara kumite wanita 50kg apabila menewaskan juara dunia Junna Tsukii dari Filipina.

Beliau mempertahan emas pada Sukan SEA 2021 di Vietnam dan menebus kekalahan kepada lawan sama dalam Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara di Phnom Penh, Kemboja pada Mac.

Selain karate, atlet petanque Saiful Bahri Musmin, 32, meraih emas keenam negara dengan menewaskan wakil Laos, Bountamy Southammvong dalam temasya dwitahunan itu.

Kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Selangor itu mengulangi kemenangan kali ketiga dalam Sukan SEA. Beliau menang dalam edisi 2017 dan 2019 dalam acara doubles dan triples lelaki.

Pasukan Malaysia meraikan kejayaan menewaskan pasukan Thailand dengan keputusan 4-1 pada perlawanan akhir hoki wanita Sukan SEA 2023 di Padang Hoki Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh pada 16 Mei 2023. Foto BERNAMA

Tonggak pasukan

Dalam acara berpasukan, empat pemain Selangor antara tonggak skuad hoki padang wanita yang meraih emas.

Turut mewakili skuad kebangsaan, mereka ialah Fatin Shafika Mohd Sukri, Dayang Nuramirah Abang Mahadini, Mashitah Ab Khalib dan Nur Insyirah Effarizal.

Fatin Shafika pernah menyertai kelab England, East Grinstead HC dan Butterfly Roma di Itali manakala Dayang Nuramirah bersama skuad kebangsaan sejak 2017 ketika berusia 16 tahun.

Mashitah dan Nur Insyirah beberapa kali menyarung jersi kebangsaan sejak remaja termasuk Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2021.

Atlet Selangor termasuk acara berpasukan turut menyumbang 13 perak dan 19 gangsa dalam temasya tersebut.

Pasukan kriket lelaki yang diwakili Ahmad Zubaidi Zulkifle, Muhammad Fitri Mohd Sham dan Vijay Unni Suresh Unni paling banyak menyumbang perak iaitu tiga pingat.

Dua atlet kriket wanita Ainna Hamizah Hashim dan Winifred Anne Durasingam pula masing-masing paling banyak merangkul tiga gangsa melalui acara wanita 50 overs, T20 dan T10.

Dalam Sukan SEA di Kemboja, Malaysia membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa dan berada pada kedudukan ketujuh keseluruhan.


Pengarang :