Orkid Mokara keluaran Malaysia mendapat permintaan dan nilai jualan yang tinggi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Foto model bersama tumbuhan berkenaan dimuat naik Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagaian Pembangunan Industri Tanaman) Jabatan Pertanian Malaysia Mohamad Nizam Malik di Facebook (Nizam Malik) pada 23 Jun 2023
AGENDAGLOBAL

Orkid spesies Mokara keluaran Malaysia dapat permintaan tinggi di Dubai

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Permintaan bunga Orkid spesies Mokara dan nilai jualan yang tinggi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu membuka peluang pasaran baharu untuk industri orkid negara memandangkan lokasi tersebut merupakan antara destinasi pelancongan dan kewangan terkemuka dunia.

Jabatan Pertanian Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Orkid Mokara keluaran Malaysia merupakan satu daripada jenis bunga yang dieksport terutamanya ke Singapura dengan nilai purata tahunan sebanyak RM11.62 juta pada 2016 hingga 2020.

“Selain Singapura, Dubai turut menjadi pilihan sebagai destinasi eksport untuk orkid tempatan kerana syarat pengeksportan ke bandar raya itu lebih mudah dari segi syarat fitosanitasi yang ditetapkan oleh negara tersebut,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan kenyataan itu, nilai ekonomi industri florikultur di Malaysia merupakan satu daripada penyumbang kepada nilai eksport negara yang mencatatkan sebanyak RM417.3 juta sepanjang 2021 dan nilai dagangan negara menerusi keuntungan industri itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding pencapaian 2020 berjumlah RM403 juta.

“Jabatan Pertanian akan sentiasa membantu dalam memudah cara pemain industri florikultur terutama dalam proses pengeksportan dan laluan pasaran luar negara,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

 


Pengarang :