Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) manandatangani plak perasmian Tempat Letak Kereta Bertingkat Taman Tasik Metropolitan Kepong pada Majlis Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik WPKL dan Perasmian Tempat Letak Kereta Bertingkat Taman Tasik Metropolitan Kepong, di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Metropolitan Kepong pada 23 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pakar: Projek pembangunan kejiranan Madani langkah tepat bantu B40, M40 miliki rumah

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Projek pembangunan Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merupakan langkah tepat dalam usaha memastikan golongan B40 dan M40 memiliki rumah dengan tawaran harga jualan berpatutan serta bersesuaian dengan pendapatan mereka.

Mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Perpaduan itu, pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Hariza Hashim, berkata Kejiranan Madani WPKL memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk memiliki rumah di kawasan ibu kota dengan harga mampu milik.

“Kita sedia maklum harga rumah di WPKL kebanyakannya adalah di luar kemampuan untuk golongan sasar ini memiliki rumah tetapi menariknya Kejiranan Madani WPKL turut menyediakan rumah untuk disewa dengan harga berpatutan untuk golongan B40 dan M40 termasuk golongan belia.

“Sekurang-kurangnya melalui inisiatif sewa itu, mereka berpeluang membuat simpanan wang terlebih dahulu untuk memiliki rumah pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan lima projek itu yang akan dibangunkan pada tahun ini, melibatkan Residensi Prihatin Madani, Residensi Madani dan Residensi Sejahtera Madani serta perumahan untuk tujuan sewaan iaitu Rumah Majlis Madani dan Rumah Ihsan Madani.

Setiap projek mempunyai syarat tertentu, antaranya, Residensi Madani menyasarkan golongan B40 berpendapatan bulanan RM5,000 ke bawah dengan unit yang ditawarkan berkeluasan 750 kaki persegi dengan nilai jualan RM180,000 seunit.

Selain itu, Rumah Majlis Madani disasarkan kepada golongan M40 dan B40 yang tidak mampu memiliki rumah melalui kadar sewa RM600 sebulan untuk lima tahun, manakala Rumah Ihsan Madani disasarkan kepada B40 dan rentan miskin di ibu kota dengan kadar sewa RM300 sebulan.

Mengulas lanjut, Ahmad Hariza berkata golongan sasar menerusi Kejiranan Madani WPKL bagaimanapun perlu dididik dari aspek kewangan supaya mereka tidak berhadapan masalah pembayaran semula dalam pembiayaan pemilikan rumah itu.

“Untuk yang menyewa juga harus diberi pendidikan kewangan agar mereka dapat merancang dan bersedia menjadi pemilik rumah. Selain itu, pendidikan hidup berjiran mesti ditekankan supaya kawasan perumahan ini nanti menjadi satu kejiranan yang menarik dan terjaga,” katanya.

Beliau,yang merupakan pensyarah kajian perumahan itu, turut mencadangkan supaya perumahan Kejiranan Madani WPKL dibina berdekatan fasiliti terutama pengangkutan awam.

Presiden Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) Malaysia, Datuk Firdaus Musa pula berpendapat Kejiranan Madani WPKL adalah usaha penambahbaikan terhadap projek perumahan kepada golongan sasar sedia ada dengan menawarkan harga yang lebih rahmah.

“Selain itu, rumah yang akan dibina berkeluasan 700 kaki persegi ke atas mengikut kategori projek adalah sangat memadai serta bersasar kepada golongan B40 dan M40,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan kepada kerajaan untuk mengelakkan risiko berlaku isu rumah tidak terjual, Firdaus menyarankan kerajaan melaksanakan kaedah pembiayaan pemilikan rumah berkonsepkan sewa dan beli bagi mereka berkelayakan untuk beberapa tempoh tertentu dan kemudiannya dibiayai menerusi pinjaman bank atau skim jaminan kerajaan.

“Masalah unit tidak terjual adalah kerana pembeli bergantung kepada pinjaman bagi membayar harga rumah dan kebanyakan pembeli terutamanya B40 tidak layak untuk mendapat pinjaman kerana tiada sekuriti bagi pihak bank untuk pembayaran bulanan. Ini kerana mungkin atas faktor pendapatan tidak tetap, pekerja gig ekonomi dan juga mempunyai hutang lain,” katanya.

Beliau berkata bagi membendung sebarang senario pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan, kerajaan menerusi agensi berkaitan antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri perlu melaksanakan siasatan terhadap setiap pemohon bagi menyemak status kewangan mereka sekali gus memastikan pemilikan rumah menerusi Kejiranan Madani WPKL hanya kepada golongan sasaran,

Sementara itu, seorang kerani, Norizah Ahmad, 40, menyambut baik projek perumahan itu yang menawarkan harga mampu milik melalui pelbagai konsep namun kerajaan perlu memastikan pelaksanaannya tercapai kepada golongan yang disasarkan sahaja.

“Sekiranya, pelaksanaan itu tidak betul, bimbang akan berulang senario seperti projek pembangunan sebelum ini, di mana orang yang memiliki rumah itu akan menyewakannya kepada orang lain demi keuntungan,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Sahli Afif, 36, pula, selain memperkenalkan Kejiranan Madani WPKL yang dilihat bagus untuk membantu golongan B40 dan M40, beliau berharap supaya kerajaan mempertimbangkan untuk mencari kaedah penyelesaian bagi mengurangkan harga pasaran rumah yang sedia ada.

“Ada banyak rumah tidak terjual disebabkan harga jualan yang agak tinggi, jadi mungkin kerajaan pertimbang kurangkan harga jualannya supaya mengelakkan isu rumah tidak terjual sehingga menjejaskan pelbagai pihak terlibat seperti pemaju,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :