Seorang kanak-kanak membina istana pasir, antara aktiviti dianjurkan pada Pesta Kelaut Pantai Kelanang 2023 pada 17 Jun 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat
ADNSELANGOR

Pantai Kelanang jadi destinasi rekreasi terkenal di Selangor

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri merancang menjadikan Pantai Kelanang di Banting sebagai kawasan rekreasi terkenal setanding Pantai Morib di Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnul Baharuddin berkata lokasi pelancongan itu semakin mendapat tempat sebagai destinasi rekreasi keluarga bersantai di hujung minggu dan cuti sekolah.

ADN Morib Hasnul Baharuddin ketika berucap pada majlis penutup Pesta Kelaut Pantai Kelanang pada 17 Jun 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat

“Sokongan daripada Kerajaan Negeri menyumbang kepada pembangunan dan perubahan landskap di Pantai Kelanang ini menjadi lebih mesra pengunjung dengan pelbagai kemudahan awam seperti medan selera, surau, tandas awam, dataran parkir dan taman permainan kanak-kanak.

“Pantai Kelanang juga pernah dinobatkan sebagai Johan Pantai Angkat Negeri Selangor pada 2016 hasil kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan penduduk,” katanya ketika merasmikan penutupan Pesta Kelaut Pantai Kelanang Sabtu lalu.

Hasnul menambah perancangan pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur yang dijalankan tidak akan tercapai tanpa penglibatan penduduk setempat dan orang awam.

“Saya lihat penglibatan aktif dan komitmen penduduk setempat juga masih teguh yang menjadikan kawasan ini sentiasa bersih, terjaga dan bersedia untuk menerima pengunjung,” katanya.


Pengarang :