Keadaan kolam tadahan air Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Pantau 24 jam, laksana langkah berkesan jamin bekalan air bersih

SHAH ALAM, 26 JUN: Pada 1990-an, Selangor berdepan krisis kekurangan bekalan air, khususnya musim kemarau. Bagi mengatasinya, banyak kolam takungan termasuk Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 dibina.

Bagaimanapun, tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan berlaku pencemaran sungai sehingga operasi loji rawatan air (LRA) terjejas. Bagi mengatasi masalah itu, Kerajaan Negeri memperkenal Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) pada 2020.

Hasil kejayaan skim tersebut, kejadian henti tugas LRA yang mengakibatkan gangguan bekalan kian berkurangan sekalipun kes pencemaran meningkat. Jadual kes kod merah menunjukkan bilangan pencemaran meningkat daripada tiga pada 2018 hingga 15 (2020).

Bagaimanapun, selepas SJAM diperkenal, berkat pemantauan 24 jam Pasukan Tindakan Segera (PANTAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mencegah pencemaran masuk ke muka sauk yang boleh mengakibatkan henti tugas LRA.

Jadual kes kod kuning menunjukkan 21 kejadian pencemaran dikesan pada 2021 dan meningkat kepada 54 pada 2022. Setakat hujung Mei, 21 kes pencemaran dikesan lebih awal.

Selain rondaan 24 jam di lembangan Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Klang, SJAM juga memanfaatkan dron berteknologi tinggi bagi menganalisis air, mengawasi lokasi sumber air dan menempatkan sistem amaran awal.

SJAM juga berupaya menjamin operasi LRA tidak terjejas meski berlaku pencemaran apabila projek pembinaan infrastruktur pengepaman dari kolam takungan Sungai Selangor siap pada 2024.

Projek pengepaman

Pada masa ini, proses pembinaan projek pengepaman dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan kolam takungan di Sungai Semenyih mencapai kemajuan lebih 51 peratus.

Projek bernilai RM320 juta itu dapat memastikan LRA Rantau Panjang, SSP 1,2,3 dan LRA Semenyih terus menyalur air melalui pengepaman sekalipun sungai tercemar dalam tempoh maksimum lima hari.

Inisiatif SJAM yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober 2020 juga memulihara kualiti air Sungai Gong, Rawang melalui Projek Perintis Rawatan Biologi.

Ia meliputi pendekatan biologi dengan meletakkan bahan nanoteknologi dan kaedah fizikal seperti sistem rawatan air mentah (RWTS) bagi memastikan kualiti air sentiasa terjamin.

Menurut LUAS pada 4 April 2023, kualiti air di kawasan Sungai Gong mencatat peningkatan baik hasil rawatan berkenaan.

“Kualiti air di kawasan Sungai Gong mencatat peningkatan yang baik susulan penghasilan air beroksigen semula jadi melalui projek ini yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menerusi pihak dilantik iaitu NUAIM Corporation Sdn Bhd dan dipantau oleh LUAS,” kata kenyataan.

Selain itu, Pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 juga dibuat bagi meningkatkan bayaran denda atas kesalahan pencemaran air.

Susulan itu pada 9 November 2020, Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan enakmen iaitu mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori, sita tanpa waran, ganti rugi dan denda maksimum RM1 juta.


Pengarang :