Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Gambar Hiasan). Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pastikan air percuma dinikmati golongan berhak, pendapatan isi rumah RM5,000 layak

SEPANG, 24 JUN: Program pemberian air percuma yang diperkenal kepada rakyat sejak 2020 ditambah baik bagi memastikan hanya penduduk yang benar-benar layak menerima bantuan itu.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menjelaskan kemudahan air percuma 20 meter padu menerusi Skim Air Darul Ehsan turut dinikmati isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim ditemui selepas merasmikan Pesta Memancing Bagan Lalang di Jeti Sirip Biru, Sepang pada 24 Jun 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGROKINI

“Sebelum ini kita perkenal kepada RM4,000 ke bawah, kemudian kita naikkan (syarat kelayakan) supaya lebih ramai lagi rakyat dapat merasai inisiatif ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang mendakwa Kerajaan Negeri mengamalkan birokrasi dalam pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan.

Ir Izham berkata penambahbaikan bantuan berkenaan bertujuan mengelakkan pembaziran sumber berikutan kos operasi amat tinggi.

“Program itu dijenamakan semula kepada Skim Air Darul Ehsan supaya hanya yang benar-benar layak sahaja terima manfaat itu,” katanya sambil menambah permohonan dalam talian itu dibuka sepanjang tahun.

Bermula 1 Oktober tahun lalu, Kerajaan Negeri mengubah syarat kelayakan skim air berkenaan termasuk menaikkan had maksimum pendapatan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM5,000 ke bawah.


Pengarang :