Sebahagian pelajar Institusi Pengajian Tinggi bersorak kegembiraan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan elaun tambahan sebanyak RM100 kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam pada program Bicara Siswa Cakna Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia pada 13 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelajar guna duit eRahmah Belia tampung keperluan harian, kos makan minum

SHAH ALAM, 27 JUN: Bantuan RM200 eRahmah Belia yang disalur mulai semalam membolehkan penerima menampung kos harian sekali gus mengurangkan beban belanja.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur Muhammad Iman Muhammad Ahib, 23, akan memanfaatkan bantuan berkenaan untuk menampung kos berulang alik dari Klang ke pusat pengajiannya di ibu negara.

“Kadang-kadang saya memandu kereta sendiri atau naik Transit Aliran Ringan (LRT). Ini perlukan kos jadi boleh gunakan duit bantuan ini untuk kurangkan belanja.

“Duit ini juga boleh diguna untuk belanja harian. Boleh tampung kos makan dan minum atau perkara lain,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Pahang Wan Nurbalqis Wan Mohamed Fathil, 23. pula akan membelanjakan wang berkenaan untuk membeli makanan dan keperluan belajar.

“Duit ini dikreditkan dalam aplikasi e-dompet. Lebih mudah kami berbelanja kerana kebanyakan premis perniagaan memang menyediakan kemudahan perkhidmatan ini.

“Kemudahan perbankan di sini jauh untuk kami keluarkan wang. Jadi cara ini sangat membantu ketika berbelanja,” kata penuntut Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.

Bermula pagi semalam, bantuan RM200 dikreditkan ke akaun belia berumur antara 18 hingga 20 tahun dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang layak.

Pada 21 Jun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pendaftaran dan tuntutan program boleh dibuat menerusi Boost, Setel atau Touch ‘n Go eWallet mulai 26 Jun sehingga 22 Ogos depan.

Penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut akan memberi insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai dan diskaun mata ganjaran sepanjang program tersebut.

Bantuan kredit itu juga boleh dimanfaatkan di kedai peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.

Untuk maklumat lanjut layari budget.mof.gov.my/manfaat/faq/ebeliarahmah.htm


Pengarang :