Malaysia Airlines Bhd meningkatkan kekerapan penerbangan ke Sabah dan Sarawak bagi memenuhi permintaan orang ramai sempena Aidilfitri. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelajar universiti awam dapat bantuan tiket penerbangan dijangka Ogos

SHAH ALAM, 30 JUN: Bantuan tiket penerbangan untuk mahasiswa universiti awam (UA) pulang ke kampung halaman akan dilancarkan Ogos depan, umum menteri pengangkutan.

Menurut Anthony Loke, bantuan itu untuk pelajar dari Sabah dan Sarawak yang menyambung pengajian di universiti di Semenanjung Malaysia dan sebaliknya, lapor Berita Harian.

“Kita akan beri bantuan dalam bentuk kredit ke akaun masing-masing untuk membeli tiket kapal terbang. Sistem ini sedang dibina dan memerlukan integrasi dengan syarikat penerbangan.

“Ia dijangkakan dapat dilancarkan Ogos ini, sebelum hari kemerdekaan. Itu hasrat kita untuk beri bantuan kepada pelajar UA tahun ini,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Loke berkata pelajar juga akan menerima tawaran diskaun oleh syarikat penerbangan menerusi bantuan berkenaan untuk meringankan beban mereka menjelang musim perayaan atau cuti semester.

“Kredit ini bukan untuk kegunaan sekali gus, (tetapi) terpulang kepada tiket penerbangan itu. Kita akan berikan satu kuantum yang akan diumumkan nanti.

“Walaupun tidak banyak, kita harapkan ia satu permulaan untuk meringankan beban pelajar UA,” katanya.


Pengarang :