Enam penunggang motosikal dengan tiga daripadanya maut selepas dirempuh kereta di bawah jejambat Kilometer 19.6 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan di Petaling Jaya, Selangor pada 4 Jun 2023. Foto Facebook Polis Daerah Petaling Jaya
AGENDAJENAYAH

Pemandu rempuh penunggang motosikal di bawah jejambat NKVE dibebas dengan jaminan

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Pemandu kereta yang disiasat merempuh enam penunggang motosikal ketika berteduh di bawah jejambat di KM19.6 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dekat Petaling Jaya semalam, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia 26 tahun itu mengalami patah bahu akibat kemalangan berkenaan dan sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Beliau berkata polis telah selesai merekodkan keterangannya semalam berhubung kejadian itu.

“Keputusan saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif penggunaan dadah namun ujian alkohol mendapati tahap alkohol dalam badannya melebihi paras dibenarkan.

“Selain itu, polis juga selesai mengambil keterangan pihak lain yang terlibat dalam kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan ketika mereka berteduh daripada hujan di bawah jejambat di KM19.6 Lebuhraya NKVE arah selatan dekat Petaling Jaya.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 5.59 pagi dengan tiga penunggang motosikal itu maut di lokasi manakala tiga penunggang yang cedera dirawat di Hospital Sungai Buloh.

– BERNAMA


Pengarang :