AGENDANASIONAL

Pemuda hilang ketika cuba selamatkan dua beradik lemas ditemukan mati

PUTRAJAYA, 5 JUN: Seorang lelaki berusia 29 tahun yang dilaporkan hilang selepas cuba menyelamat dua beradik yang lemas ketika mandi di Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor, semalam, ditemukan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad berkata mangsa Muhammad Faizal Mahasan ditemukan terapung oleh orang awam di tepi pesisiran pantai berdekatan pusat peranginan Avani Sepang Goldcoast Resort.

“Penemuan suatu objek terapung berwarna hitam oleh orang awam telah dimaklumkan kepada Subtek (pusat operasi). Subtek bersama APM (Angkatan Pertahanan Awam) telah kenal pasti objek berkenaan dan mengesahkan mayat mangsa lemas.

“Mayat kemudian dibawa ke pantai kira-kira pukul 9.50 pagi tadi untuk proses pemeriksaan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) dan pengesahan kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md Noor Aehwan berkata mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Semalam, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dilapor memaklumkan dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan tujuh tahun lemas manakala seorang lelaki berusia lingkungan 30-an hilang ketika mandi di Pantai Bagan Lalang.

Md Noor Aehwan berkata pihaknya menerima laporan tersebut pada pukul 2.34 petang semalam dan terus menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, operasi SAR melibatkan 15 anggota dari Balai Polis Sungai Pelek dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, 10 anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), empat anggota JBPM Klang, 16 anggota APM, dan masing-masing enam petugas kesihatan KKM serta Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Sepang.

Beliau berkata operasi SAR bermula kira-kira pukul 7 pagi tadi menggunakan dua bot penyelamat, disusuli operasi pencarian di pesisir pantai dengan menggunakan sebuah bot penyelamat.

– BERNAMA


Pengarang :