Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizan Zamanhuri (tiga, kanan) menyerahkan Notis 5A kepada Mohd Salleh Saru ( empat, kiri) dan isteri Marsidah Pardi (dua, kiri) sambil diperhatikan oleh Penolong Pegawai Daerah Unit Pelupusan Tanah Pejabat Daerah Dan Tanah Klang, Masdiyana Hamzah (kiri) pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Kampung Hamid Tuah, Telok Gong, Pelabuhan Klang pada 22 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penantian lima dekad berakhir, peneroka asal syukur dapat hak milik tanah

KLANG, 22 JUN: Penantian 55 tahun seorang peneroka asal Kampung Hamid Tuah, Telok Gong di sini mendapat hak milik tanah berakhir hari ini apabila beliau memperolehinya daripada Kerajaan Negeri.

Biarpun bergelut pelbagai rintangan untuk memperoleh pemilikan sah, Mohd Salleh Saru, 70, bersyukur perjuangan mempertahankan tanah seluas 2.4 ekar atas lot 15387 berhasil berkat doa dan kesabaran.

Dia yang bekerja sebagai peneroka sejak usia 15 tahun menganggap notis 5A diperolehnya sebagai hadiah paling istimewa buat isteri Marsidah Pardi, 60, termasuk tujuh anak dan sembilan cucunya.

Penerima Mohd Salleh Saru, 70, pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Kampung Hamid Tuah, Telok Gong, Pelabuhan Klang pada 22 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, saya sangat gembira terima geran hak milik tanah. Semua ini tidak akan berlaku tanpa sokongan orang kampung. Begitu juga bantuan Kerajaan Negeri, wakil rakyat serta pegawai terlibat. Terima kasih tidak terhingga buat mereka.

“Saya tak sangka susah payah dilalui selama ini sudah berakhir. Selama ini macam-macam dugaan kami hadap sehingga pernah diarah berpindah, namun kami tetap bertabah dan nekad tidak akan pergi dari sini,” katanya ditemui selepas menerima notis 5A yang disampaikan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zamanhuri di sini.

Mohd Salleh antara 244 peneroka asal di kampung terbabit yang terkesan dengan isu pemilikan tanah berikutan pertindihan nama antara penama geran.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizan Zamanhuri pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Kampung Hamid Tuah, Telok Gong, Pelabuhan Klang pada 22 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Sementara itu, Azmizam menjelaskan isu pemilikan tanah di kampung berkenaan sudah lama timbul berikutan faktor tersebut selain bantahan pemilik menyerahkan geran kepada peneroka asal.

Bagaimanapun daripada jumlah itu, beliau berkata sebanyak 180 lot bermasalah sudah diselesaikan manakala baki akan cuba diatasi Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Daerah Klang secara berperingkat.

“Ada pelbagai tuntutan daripada pihak (penama asal geran) yang mengatakan tanah tersebut tanah mereka tetapi akhirnya dapat diselesaikan dengan baik meskipun terpaksa naik turun mahkamah.

“Insya-Allah kita tekad tangani isu ini dan berusaha sedaya upaya membela hak peneroka asal terutama baki 64 yang masih dalam siasatan,” katanya.

Azmizam turut berharap agar pihak berkaitan memberi kerjasama bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu terbabit.

“Semua pihak juga perlu tenang dan sabar menghadapi proses ini memandangkan bukan mudah untuk pemilik serah tanah kepada peneroka,” katanya.


Pengarang :