Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penggantian tanah rizab Melayu cepat, saiz lebih luas, setara nilai asal

SHAH ALAM, 15 JUN: Penggantian tanah rizab Melayu (TRM) di Selangor dibuat pantas manakala saiznya lebih luas berbanding proses sama dalam tempoh 10 tahun lalu.

Menjelaskan proses itu tidak teratur, cuai dan lambat sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memastikan nilai tanah gantian setara yang asal.

“Dalam tempoh 10 tahun ke belakang, saya percaya proses yang kita gantikan adalah dengan menggantikan immediate (kadar segera).

“Kalau saiz di Petaling Jaya katakanlah satu kaki persegi ataupun satu ekar kalau, kita gantikan di Sabak Bernam, saiznya mesti lebih daripada itu kerana kita tengok value (nilai).

“Kita tidak hendak ia akan akhirnya saiz sahaja sama tapi nilai tak sama,” katanya dipetik dari penyata rasmi Dewan Negeri Selangor pada 17 Mei.

Beliau berbahas usul berkaitan pengurusan pewartaan TRM yang dibawa Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli dan turut dibahaskan ADN Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin dan ADN Dengkil Adhif Syan Abdullah, tidak termasuk celahan beberapa wakil rakyat.

Amirudin berkata kelulusan penggantian atau pelupusan juga tidak boleh dibuat sehingga tanah rizab ada kawasan tanah ganti sejak Pakatan Harapan menerajui kepimpinan negeri.

“Daripada rekod kita dari enam hingga tujuh tahun ke belakang, penggantian yang kita buat itu lebih daripada pelupusan-pelupusan yang diberikan,” katanya lagi.


Pengarang :