Pekerja KDEB Waste Management mengutip sampah pukal di sekitar Taman Buana, Petaling Jaya pada 11 Mac 2022. Foto Facebook KDEBWM.
AGENSISELANGOR

Pengguna aplikasi i-Clean puji aduan sampah pukal dikutip tempoh 24 jam

SHAH ALAM, 23 JUN : Seorang pengguna aplikasi i-Clean Selangor memuji tindakan pantas KDEB Waste Management (KDEBWM) yang menyelesaikan aduan sampah dalam tempoh singkat.

Perkara itu dikongsi pengguna Twitter Akmal Nazamuddin berkata sampah pukal yang dilapornya menerusi aplikasi itu dikutip dalam tempoh kurang 24 jam.

“Sudah dua kali mengguna aplikasi ini. Banyak membantu untuk buang sampah pukal. Pagi semalam buat aduan, tengah hari dapat panggilan, Subuh tadi sampah sudah diangkat. Terbaik Selangor.

“Moga istiqomah dan maju. Jika rakyat Malaysia jaga kebersihan maka bersihlah negara. Ini kalilah,” tulisnya menerusi Twitter.

Dalam perkembangan sama, status dimuat naiknya itu turut mendapat respon daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut membalas ciapan “Syukur, Alhamdulillah”.

Semalam, aplikasi i-Clean Selangor yang dibangunkan KDEB Waste Management (KDEBWM) berjaya merangkul Anugerah Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata, setakat ini, ada lebih 100,000 pengguna berdaftar yang aktif dan sebanyak 15,000 aduan diterima menerusi aplikasi itu antara Januari hingga Mei tahun ini.

I-Clean Selangor memudahkan orang ramai melaporkan aduan kutipan sisa pepejal atau longkang tidak dibersihkan dan mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian.

Aplikasi itu memudahkan penduduk mengemukakan aduan pembersihan di kawasan mereka selain memohon perkhidmatan pembuangan sampah pukal.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi itu di Google Play dan App Store selain menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-2824/019-375 9592 atau WhatsApp (019-2742824) supaya aduan diurus dengan lebih cepat dan tepat.


Pengarang :