Orang ramai membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidiladha ketika Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Batu Tiga di Dewan Chengal MBSA, Shah Alam pada 27 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengunjung beli barang keperluan sambut Aidiladha di jualan murah

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SHAH ALAM, 27 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Cengal MBSA di sini hari ini menjadi kawasan tumpuan penduduk mendapatkan barangan keperluan bagi persiapan menyambut Aidiladha Khamis ini.

Jururawat, Wahiza Mohd Ghani, 47 berkata usahanya datang lebih awal ternyata berbaloi apabila dia berpeluang membeli barangan yang dikehandaki untuk dijadikan juadah raya.

Wahiza Mohd Ghani

“Memang target nak beli ayam, daging dan telur sebab harga jauh lebih murah, Alhamdulillah hari ini rezeki menyebelahi saya kerana dapat beli apa yang saya perlukan.

“Bagi saya jualan seperti ini adalah satu inisiatif yang sangat baik dan berharap ia akan lebih kerap lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada program JER peringkat DUN Batu Tiga.

Aziza Abdul Rahman

Seorang lagi pengujung, Aziza Abdul Rahman, 36, berkata, setiap kali mendapat tahu mengenai program itu, beliau akan datang bersama jiran untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan dengan harga lebih murah.

“Hari ini saya belanja dalam RM60 sahaja tapi banyak barang yang saya dapat macam ayam, beras, telur dan daging.

“Kalau berbelanja dekat luar tak boleh nak jimat dan kami memang sangat berpuas hati dengan tawaran harga dan kualiti barangan di sini,” katanya.

Aminah Md Jihin

Sementara itu, Aminah Md Jihin, 72, memuji keprihatinan pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menyediakan kemudahan untuk warga emas untuk berbelanja dengan selesa.

“Baguslah mereka sediakan ruangan menunggu dan laluan khas untuk warga emas, jadi kami ni tak perlulah nak berdiri atau beratur panjang.

“Syukur juga sebab hari ini dapat beli barang-barang dengan harga murah, jadi bolehlah berjimat sedikit nak masa untuk keluarga sempena Raya Haji nanti,” katanya.


Pengarang :