SABAK BERNAM, 9 JUN: Penjenamaan semula Perpustakaan Awam Selangor di daerah ini berjaya menarik kehadiran hampir 16,000 pengunjung dari Januari hingga Mei lalu.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata 16,491 pengunjung direkodkan ke Perpustakaan Awam Selangor Daerah Sabak Bernam dari Januari hingga Disember tahun lalu.
“Bermula Januari tahun ini, perpustakaan ini memulakan operasi barunya dibuka tujuh hari seminggu dan hanya ditutup pada cuti umum saja.
“Dalam tempoh lima bulan pertama, statistik penggunaan perpustakaan ini meningkat dan hampir menyamai statistik 12 bulan tahun lalu,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Awam Selangor Daerah Sabak Bernam yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.
Mastura berkata jumlah pinjaman buku bagi tempoh itu juga menggalakkan, iaitu sebanyak 6,905 naskhah.

“Antara kemudahan baharu yang tersedia di perpustakaan ini adalah perkhidmatan multimedia dengan kelengkapan 19 komputer, kemudahan menjalankan seminar, ruang menonton televisyen, ruang bacaan dan rujukan.
“Selain itu, bahagian kanak-kanak, ruang bacaan luar dan ruangan retro yang mempamerkan barangan antik seperti televisyen antik dan pinggan mangkuk lama,” katanya.