Penggulungan Belanjawan Selangor 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 6 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perbuatan Azmin ‘umum’ bubar DUN tidak sopan, membelakang tatacara negeri

SHAH ALAM, 5 JUN: Perbuatan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali semalam yang mengumumkan 19 Jun sebagai tarikh pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) disifatkan kurang sopan.

Setiausaha pengelola Majlis Pimpinan KEADILAN negeri berkata tindakan bekas Dato’ Menteri Besar itu membelakangkan norma yang termaktub dalam Prosedur dan Tatacara Pengurusan Kerajaan Negeri.

Menyifatkan Azmin terlalu gopoh, Saifuddin Shafi Muhammad berkata kenyataan tersebut menggambarkan kerakusan wakil rakyat itu hingga terlupa asas yang wajar dipatuhi dengan cermat.

“Justeru dinasihatkan kepada semua pihak agar berlapang dada, bersabar dan tidak mengheret mana-mana institusi dalam percaturan politik masing-masing.

“Jangan cemar kestabilan dan kesepaduan Selangor dengan keghairahan tidak bertepi,” kata Saifuddin dalam kenyataan hari ini.

Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau menambah Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor bersedia mempertahan mandat negeri dan yakin dengan rekod cemerlang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam laporan sebelum ini, Amirudin dijangka menghadap Sultan Selangor pada minggu ketiga atau keempat bulan ini bagi memohon perkenan tarikh pembubaran DNS.


Pengarang :