Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain bersama Mohd. Shahzihan Ahmad melihat komputer riba yang diserahkan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Komputer Riba dan LCD Projektor Kepada Sekolah Rendah Agama JAIS di Bangunan PKNS, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Perhebat pendidikan Islam, didik anak negeri cemerlang

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Selangor sangat mengambil berat pendidikan Islam anak negeri, membelanjakan lebih RM180 juta setahun untuk kemajuan sekolah dan kebajikan guru sekolah agama dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Jumlah gaji, elaun dan imbuhan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebanyak RM72.3 juta, tidak termasuk gaji guru kontrak RM11.6 juta dan emolumen guru Kafa RM2 juta.

“Peruntukan mengurus Jais (sebanyak RM280.7 juta) mengatasi hasil negeri Perlis setahun,” kata Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad kepada Selangorkini pada 23 Jun sebagai perbandingan. “Ini komitmen tiap-tiap tahun, kira-kira 64 peratus daripada RM280 juta peruntukan mengurus Jais.”

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemu bual di pejabatnya di Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Belanjawan negeri paling kecil itu bagi tahun 2023 berjumlah RM293.36 juta, sementara jumlah kutipan hasil dianggarkan RM112.23 juta.

Dengan jumlah peruntukan tersebut, pendidikan agama di Selangor mendapat sambutan hangat ibu bapa, khususnya di sekolah yang menawarkan program integrasi dan cemerlang.

Mohd Shahzihan memberi contoh kejayaan Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBest) Subang Jaya yang mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.22 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022. Ia lebih baik berbanding Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas).

“SAMBest mengatasi Kisas, terbaik satu Malaysia dalam SPM. Gurunya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia tetapi semua anak muridnya kita (Jais) pilih daripada sistem sekolah rendah kita.

Tidak malu

“Saya melancarkan Program Pemberdayaan bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Saya mahu (pelajar) sekolah agama tidak malu untuk bercakap Inggeris, tidak malu juga untuk berbahasa Arab,” katanya.

Mula dibuka pada Mei 1998, SAMBest yang dirancang oleh BPI Jais bertujuan memantapkan sistem pendidikan agama yang menawarkan jurusan sains tulen dan sains teknikal.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad bergambar pada Majlis Pengisytiharan keputusan peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) peringkat negeri Selangor tahun 2019 dan pelancaran Modul Pemberdayaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan teknologi (MITS) Negeri Selangor 2019 di
Dewan Syarahan Masjid Negeri, Shah Alam. 20 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kejayaan seperti ini pastilah hasil peruntukan mengurus yang semakin meningkat daripada RM96.2 juta pada 2018, RM96.6 juta (2020) dan RM102.3 juta (2022). Dana ini bagi menampung pelbagai jenis pendidikan agama di beberapa tahap di sembilan daerah.

Jais mengendalikan 576 sekolah dalam enam kategori sejak prasekolah hingga Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS). Kategori lain, Kafa Integrasi (Kafa-i), Sekolah Rendah Agama (SRA), SRA Integrasi (SRAI) dan Sekolah Agama Menengah (SAM).

Kebanyakan sekolah ini berada di daerah Petaling (117 buah), Hulu Langat (102), Gombak (80), Klang (63) dan Kuala Selangor (57).

Peruntukan besar itu digunakan untuk menjaga kebajikan 8,102 guru sekolah agama yang sebahagian besar berada di Petaling (1,560 orang), Hulu Langat (1,315), Klang (1,214), Gombak (940) dan Kuala Selangor (786).

Jumlah ini tidak termasuk 1,718 orang guru rakyat di semua jenis sekolah.

Nur Izzatul Humaira Norshaharizal dari Kafa Integrasi (Kafai) Ar-Rasyidin, Gombak dan Puteri Nur Syifa Awaluddin dari Kafai Al-Waani, Hulu Langat memenangi Pertandingan Ihtifal Kafa Kebangsaan (IKK) kali ke-7 yang berlangsung di Kota Bharu pada 24 Julai 2022. Foto Facebook Jais

Mereka memberikan khidmat cemerlang mendidik 263,017 murid yang sebahagian besarnya berada di Petaling (55,801 orang), Klang (43,275), Hulu Langat (43,047), Gombak (33,035) dan Kuala Langat (22,105).

Jumlah di atas tidak termasuk 902 sekolah agama swasta dengan 7,616 guru dan 77,353 orang murid.

Caruman KWSP

Dalam wawancara di pejabatnya di Shah Alam, Mohd Shahzihan berkata Kerajaan Negeri merancang melantik 656 guru Kafa dalam tempoh lima tahun dengan dana RM14.6 juta.

“Baru-baru ini lulus pula 656 orang lagi guru Kafa, pelantikan mereka mengikut (keperluan) tahun. Seramai 150 orang (dilantik) berperingkat-peringkat,” katanya, mengulas pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 18 Mei.

“(Dalam Belanjawan 2023), Dato’ Menteri Besar menaikkan (elaun guru Kafa) kepada RM1,500 (setaraf gaji minimum). Kita selaraskan RM1,500, banyak duit yang terlibat.”

Langkah itu yang menelan perbelanjaan RM4.8 juta bakal memanfaatkan 2,825 guru yang sebelum ini dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan.

Dua tahun sebelum itu, Kerajaan Negeri memperkenal caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang memanfaatkan 4,200 guru. Selangor turut menyediakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebanyak RM5 juta setahun diluluskan pada 2022 dan tahun ini sebagai subsidi bayaran yuran pelajar RM30 sebulan kepada Kafa-i. Bantuan ini dinikmati murid di 296 Kafa-i, sekali gus membantu menyelesaikan tunggakan yuran bulanan membabitkan 14,000 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

 


Pengarang :