Ketua Pegawai Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad bersama Pengurus Jabatan Perindustrian Selangor Chua Yee Ling menunjukkan poster promosi Pertandingan Pitching Tourism Selangor yang bermula pada 1 Jun 2023. Foto Tourism Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pertandingan Pitching Tourism Selangor tawar hadiah geran projek nilai RM150,000

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 1 JUN: Orang ramai dipelawa menyertai pertandingan Pitching Tourism Selangor 2023 yang menawarkan geran projek nilai keseluruhan RM150,000 bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad berkata menerusi pertandingan itu, peserta dikehendaki merangka kertas kerja dengan tema Pelancongan Mampan.

“Ini adalah kali ketiga pertandingan ini dianjurkan dan tahun ini tumpuan diberikan kepada 17 matlamat pembangunan mampan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu antaranya kesaksamaan jantina, pertumbuhan ekonomi, pendidikan berkualiti dan lain-lain.

“Idea hendaklah menjurus ke arah merancakkan industri pelancongan Selangor dan boleh disampaikan dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris dengan matlamat menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan pilihan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azrul Shah pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu individu dan berkumpulan (tidak melebihi empat orang setiap kumpulan) dengan projek dirancang dan akan dilaksanakan di negeri Selangor sahaja.

Tarikh akhir penyerahan kertas kerja adalah sebelum 2 Julai ini.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh diperolehi dengan melayari Selangor.Travel atau e-mel [email protected].

Tahun lalu, sepuluh pemenang diberikan geran projek sebanyak 100,000 dengan tema Pelancongan dan Industri Kreatif yang memfokuskan kepada Warisan, Seni, Media dan Reka Bentuk dengan matlamat menjadikan negeri Selangor sebagai hab industri kreatif.


Pengarang :