Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin bergambar bersama penduduk pada majlis penyerahan projek baik pulih Jalan Lorong Mawar 6, Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 20 Jun 2023. Foto Rozana Zainal Abidin
ADNSELANGOR

Peruntuk lebih RM800,000 kos baik pulih jalan terputus akibat banjir

Oleh Nas Norziela Nasbah

SHAH ALAM, 20 JUN: Kerosakan Jalan Lorong Mawar 6 Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor akibat banjir pada Januari 2022 mendapat perhatian khususnya Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang.

Jalan berkenaan rosak teruk dan tidak boleh dilalui akibat banjir menyebabkan urusan penduduk terjejas berikutan jalan itu salah satu laluan utama mereka.

Rozana Zainal Abidin berkata pembaikan jalan berkenaan melibatkan kos lebih RM800,000 melalui peruntukan Kerajaan Negeri.

Jalan Lorong Mawar 6, Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor yang rosak pada Januari 2022 dan kini boleh digunakan penduduk pada 20 Jun 2023. Foto Rozana Zainal Abidin

Beliau berkata kos itu membabitkan skop projek pembersihan tapak, membina gabion mattress dan dinding gabion selain pemasangan geotekstil tenunan, pembinaan struktur, longkang serta mengecat garisan jalan.

“Jalan lorong Mawar 6 ini mengalami kerosakan teruk menyebabkannya terputus akibat banjir tahun lalu.

“Dengan projek baik pulih ini, laluan utama penduduk di Bestari Jaya dapat digunakan kembali dan memudahkan urusan mereka yang sebelum ini terjejas,” katanya pada majlis penyerahan projek baik pulih permukaan jalan dan kerja berkaitan di Jalan Lorong Mawar 6, Kampung Bestari Jaya hari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor diamanahkan Pejabat Daerah Kuala Selangor untuk melaksanakan projek dengan segera melalui syarikat konsensi negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd.


Pengarang :