Reaksi penyokong Malaysia mengangkat poster sebaik pasangan Chee Chaoming- Brady Chin memenangi pingat emas menerusi acara beregu Lelaki Kelas 9 di Table Tennis Hall, Stadium Morodok Techo, Kemboja pada 6 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDASUKANKINI

Ping pong sumbang emas ke-33, tepati sasaran Kontinjen Malaysia

PHNOM PENH, 6 JUN: Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran 33 pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 hari ini sebelum temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirainya pada Jumaat.

Emas yang ditunggu-tunggu itu disumbangkan gandingan mantap Chee Chaoming- Brady Chin menerusi acara beregu lelaki (kelas 9- masalah keseimbangan ringan) selepas menundukkan pasangan Filipina Linard Combras dan Benedicto Hernandez di Dewan Pingpong, Stadium Nasional Morodok Techo di sini hari ini.

Mereka cemerlang mencatatkan 11-8, 11-7 dan 11-8 pada aksi final untuk mengesahkan kemenangan pingat emas itu.

Terdahulu, emas ke-32 disumbangkan atlet olahraga Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi menerusi acara 400 meter lelaki (T20- kecacatan intelektual).

Majlis Paralimpik Malaysia sebelum ini menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada penampilan di Kemboja.

– BERNAMA


Pengarang :