Poster jualan lembu korban sempena Aidiladha oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS)
AGENSISELANGOR

PKPS anjur jualan lembu korban, harga lebih murah dari pasaran luar

SHAH ALAM, 19 JUN: Buat julung kalinya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menganjurkan jualan lembu korban sempena Aidiladha.

Pengurus Ternakan PKPS Nurul Hanis Wan Hussin berkata sebanyak 12 ekor lembu dijual terus dari ladang milik agensi itu di Sungai Panjang, Sabak Bernam.

“Jualan lembu sempena Aidiladha baru bermula hari ini. Tetapi setakat ini sudah tiga ekor dijual dan menjadikannya tinggal sembilan ekor sahaja.

“Syukur kerana jualan mendapat sambutan. Ini projek pertama dan dianggap jualan percubaan PKPS,” katanya kepada Selangorkini.

Nurul Hanis menambah, lembu yang dijual adalah baka campuran dari lembu jenis Brahman dan tempatan.

Jelasnya, harga yang ditetapkan adalah RM6,000 untuk lembu dengan berat 300kg ke bawah, manakala RM6,500 untuk berat 300kg ke atas.

“Sebenarnya harga yang ditawarkan PKPS adalah lebih murah berbanding harga pasaran. Kita turut menawarkan penghantaran lembu terus ke lokasi pada harga RM100 sahaja,” katanya.

Orang ramai yang berminat membeli lembu korban boleh hubungi Puan Nurul 017-4694112 atau talian lain yang tertera di poster.


Pengarang :