Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM, 28 JUN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meraih RM325,000 hasil pendapatan pada Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha di enam lokasi sepanjang dua hari mulai 24 jun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata melalui program berkenaan rakyat Selangor mendapat penjimatan RM172,000 melalui subsidi diberikan Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, enam barangan asas iaitu 12,000 ekor ayam, beras lima kg (7,200 kampit), telur (6,000 papan), daging (3,000 pek), ikan (3,000 pek) dan minyak masak lima kg (2,400 botol) habis dijual di enam lokasi.
“Kita menerima kehadiran pembeli antara 500 hingga 1,000 orang di setiap lokasi jualan mega.
“Selain barangan asas barangan tambahan sejuk beku seperti isi kerang, sotong dan ikan kerapu laris,” katanya ketika dihubungi.
Mohamad Khairil memberitahu barangan kering jenama Ehsan seperti bihun, tepung, santan, sos cili, sardin, kaya dan biskut jagung turut menjadi pilihan pembeli di jualan mega itu.
Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha pada 24 Jun berlangsung di Padang Awam Batu Caves di Parlimen Gombak, Kampung Pandan Dalam (Parlimen Pandan)dan Pantai Batu Laut (ParlimenSepang).
Jualan sama turut berlangsung sehari selepas itu di Kampung Bukit Belimbing (Parlimen Tanjung Karang), Tapak Pasar Sehari Pekan Sabak (Parlimen Sabak Bernam) dan Dataran Niaga Serendah (Parlimen Hulu Selangor).
Jualan murah tersebut menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
Sempena Aidiladha, PKPS menerusi Facebook memaklumkan jualan murah berkenaan berehat lima hari bermula hari ini dan bersambung seperti biasa pada 3 Julai.