Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 7 Jun 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

PM: Kerajaan kemas kini dasar isu kalimah Allah ikut ketetapan Majlis Raja-Raja

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan patuh dan sedia memperkemas dasar sedia ada mengikut ketetapan Majlis Raja-Raja, yang akan memuktamad isu penggunaan kalimah Allah melibatkan bukan Islam.

Perdana menteri turut mengulangi pendirian memperakui dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehad penggunaannya kepada umat Islam di Semenanjung dan bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pendirian kerajaan yang menghormati undang-undang negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dalam menentukan perkara berkaitan Islam.

“Selepas berbincang dengan Sultan Selangor, saya menghormati pandangan Baginda yang selari dengan keputusan jemaah menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas.

“(Ia juga perlu) diperjelaskan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung keputusan kerajaan dalam kes Jill Ireland di Istana Kayangan hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor menyeru semua pihak tidak mempolitik, membangkit atau membahaskan isu kalimah Allah sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad.

Baginda bertitah saranan itu bagi memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara.

Baginda yang juga pengerusi MKI berpandangan isu berkenaan perlu dibincang terlebih dahulu selaras fungsi MKI menasihati Raja-Raja Melayu bagi menambah baik tadbir urus Islam.


Pengarang :