Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jami’il Huda, Ampang pada 9 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM solat Jumaat bersama 2,000 jemaah di Masjid Jamiul-Huda, Ampang

OLEH SHAMZ JOHAN

AMPANG, 9 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama lebih 2,000 jemaah di Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu, di sini hari ini.

Beliau yang lengkap berbaju Melayu biru muda diiringi Setiausaha Politik Kanan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Pegawai Daerah Hulu Langat Dato’ Mohd Jusni Hashim.

Pemimpin nombor satu negara itu kemudian mendengar khutbah bertajuk ‘Kematian yang pasti’ disampaikan Imam 1 Ustaz Ahmad Subki Othman, yang menghuraikan ayat 185, surah Al-Imran.

Khutbah itu turut mengingatkan manusia supaya sentiasa mengingati saat kematian yang pasti untuk mencegah diri daripada leka dengan nikmat dunia yang sementara.

“Mengingati kematian dapat mencegah seseorang daripada berangan-angan dengan nikmat dunia, malah dapat hidup tenang serta bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT,” katanya.

Selepas solat, Anwar turut beramah mesra dan bersalaman bersama jemaah serta berswafoto sebelum beredar meninggalkan masjid sekitar 2.10 petang.

Sebelum menunaikan solat, perdana menteri menikmati makan tengahari di Q Bistro, Ampang bersama pemimpin setempat dan orang ramai.

 


Pengarang :