Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2023 bertemakan Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 1 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM tekad buat perubahan, terus perangi rasuah meski ada yang gelisah

OLEH FUAD HADINATA

SHAH ALAM, 9 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi tekadnya membuat pembaharuan ke atas negara demi manfaat rakyat selain terus memerangi rasuah.

Dalam temu bual khas bersama media antarabangsa Al-Jazeera, beliau tegas menentang salah guna kuasa di negara ini meskipun ada yang gelisah dengan pendiriannya itu.

“Apabila bercakap mengenai tadbir urus, menjadi kewajipan saya untuk melaksanakan perubahan kerana negara ini agak musnah. Melainkan ada komitmen politik jelas dan keazaman untuk berubah.

“Saya tidak duduk diam. Saya akan memerangi mereka jika mereka mahu mendapatkan sokongan dengan membeli orang, dengan merasuah orang dan melindungi kawasan mereka,” katanya.

Kenyataan itu antara yang disebut dalam dokumentari khas bertajuk “Dari Penjara ke Perdana Menteri: Anwar Ibrahim”. (“From Prison to Prime Minister: Malaysia’s Anwar Ibrahim”).

Berkongsi pengalaman insiden mata lebam pada 1998, Anwar yang ketika itu dalam tahanan polis menjelaskan hanya teringat keluarga dan fikir tidak akan hidup lagi semasa dipukul.

“Pada malam saya dipukul dengan teruk, saya hanya fikir keluarga, Azizah (Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan keluarga. Saya fikir kerana serangan hebat itu, saya tidak akan hidup lagi,” katanya.

Pada 2000, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor disabitkan bersalah memukul Anwar ketika dalam tahanan. Lima tahun selepas itu, Abdul Rahim membuat permohonan maaf kepada Anwar.


Pengarang :