AGENDAJENAYAH

Polis terima empat laporan berhubung tipu kes culik murid

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Polis menerima empat laporan berkaitan sindiket penipuan penculikan murid sekolah yang meminta wang tebusan di sekitar Lembah Klang bulan ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata laporan itu diterima pada 13 hingga 15 Jun lepas, selepas satu pesanan ringkas tular menerusi Whatsapp berkaitan kejadian terbabit.

“Dalam kes itu, seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai eksekutif akaun sebuah syarikat tempatan memaklumkan menerima satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mendakwa menahan anaknya dan meminta sejumlah wang tebusan.

“Pengadu segera bertindak memeriksa keadaan anaknya dan mendapati anaknya dalam keadaan selamat lalu dengan serta-merta memutuskan panggilan suspek tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan (Cubaan Tipu) dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes itu.

Beliau juga meminta orang ramai agar jangan mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada individu tidak dikenali dan perlu membuat semakan dengan menghubungi pihak sekolah sekiranya mengalami situasi tersebut.

“Hubungi balai terdekat jika anda mengalami masalah dan berhadapan dengan situasi ini dan jangan sesekali mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali,” katanya.

Amihizam berkata orang ramai perlu membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi dan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan.

“Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :