Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Suzliana Abd Hamid (dua, kanan) bergambar bersama Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor Mahanom Basri (tengah) selepas menyempurnakan majlis serahan pinjaman komputer kepada persatuan itu di Bangunan Darul Ehsan pada 26 Jun 2023. Foto Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
AGENSISELANGOR

PPAS pinjamkan 100 komputer, permudah urusan taska kemas kini data

Oleh NAJAMUDDIN MOHD NOR

SHAH ALAM, 27 JUN: Sebanyak 100 komputer milik Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dipinjamkan kepada taska yang bernaung bawah Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS), semalam.

Menurut PPAS, pinjaman 50 komputer meja dan 50 komputer riba itu bagi memudahkan pengendali taska mengemaskini data perkembangan murid ke dalam Sistem Pusat Data Kanak-Kanak Sistem Kebangsaan (NCDC).

“Menjadi keperluan untuk setiap taska mengemaskini maklumat kanak-kanak untuk dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memantau perkembangan bermula dari bayi.

“Ia merangkumi pelbagai aspek termasuklah perkembangan fizikal, mental, emosi, bahasa, perkembangan awal matetamik dan pemikiran logik,” kata perbadanan itu di Facebook semalam.

Antara komputer milik Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor yang dipinjamkan kepada taska bawah naugan Persatuan Taska Negeri Selangor pada 26 Jun 2023. Foto Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor

Terdahulu, majlis serahan pinjaman komputer meja dan komputer riba PPAS disempurnakan Timbalan Pengarah PPAS Suzliana Abd Hamid kepada Presiden PTNS Mahanom Basri di ibu pejabat persatuan itu di Bangunan Darul Ehsan di sini.

Menerusi kenyataan sama, Mahanom menzahirkan penghargaan kepada PPAS atas pinjaman komputer sekali gus mengurangkan bebanan pemilik taska yang kurang berkemampuan.

“Inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang membantu dan memberi kegembiraan kepada guru-guru taska dan ada dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli peranti tersebut,” katanya.


Pengarang :