EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (duduk, dua dari kiri) bergambar bersama peserta Grow Jahitan 2023 di Pusat Menjahit Sai Rani, Seri Kembangan pada 11 Jun 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program bimbingan jahitan bantu usahawan miliki perniagaan sendiri

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SERI KEMBANGAN, 12 JUN: Peserta program bimbingan perniagaan (Grow) Jahitan 2023 di Pusat Jahit Sai Rani di sini, yakin penyertaan mereka sebagai permulaan terbaik untuk menjadi usahawan berjaya satu hari nanti.

Maathavi Pachiappan, 29, berkata pembabitannya dalam kursus selama enam bulan itu menjadi batu loncatan mengejar impian memiliki perniagaan sendiri dalam bidang jahitan.

Peserta program Grow Jahitan 2023, Maathavi Pachiappan. FOTO NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, saya belajar sendiri dengan menjahit label dan menjual sari di media sosial.

“Sejak itu, minat untuk mendalami bidang jahitan dan perniagaan bermula. Saya begitu teruja apabila terpilih salah seorang peserta program ini,” katanya.

Seramai 10 peserta menyertai program di bawah kendalian Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) melalui Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Majlis perasmian disempurnakan EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail, di sini semalam.

Maathavi berkata untuk menjadi usahawan bidang jahitan, ia bukan sekadar bakat sebaliknya kemahiran perlu ditingkatkan dengan bantuan mereka yang berpengalaman.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berbual bersama peserta Grow Jahitan 2023 di Pusat Menjahit Sai Rani, Seri Kembangan pada 11 Jun 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Menariknya dalam program ini, bukan saja disediakan mesin menjahit mudah alih dan keperluan lain tetapi lebih berharga adalah mentor berpengalaman dalam bidang jahitan,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta dari Taman Bukit Kemuning, Shah Alam, Sitha Narasimha Bharatheyar, 42, mahu menggunakan peluang itu sebaiknya yang sebelum ini hanya sebagai hobi.

Peserta program Grow Jahitan 2023, Sitha Narasimha Bharatheyar. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Sebelum ini saya hanya menjahit suka-suka tetapi apabila terpilih sebagai peserta, saya tidak boleh sia-siakan kemahiran ini.

“Bukan sahaja dapat belajar asas menjahit tetapi saya lihat peluang lebih besar untuk menjadi usahawan jika bersungguh-sungguh,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Empat program keusahawanan ditawarkan iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan (Grow) serta program bantuan peralatan perniagaan (Geran).


Pengarang :