Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menaiki trem ke majlis pelancaran Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek mega SABDA tarik pelaburan RM600 juta, cipta 7,000 peluang kerja

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 22 JUN: Dua projek perikanan berskala besar bawah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dijangka mampu menarik pelaburan sekitar RM600 juta, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan projek berdampak tinggi yang dijangka siap pada 2027 juga bakal mencipta lebih 7,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun di daerah berkenaan.

Terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama, beliau berkata projek itu meliputi pembangunan agro bernilai tinggi bagi mencapai matlamat keterjaminan makanan jangka panjang untuk pasaran tempatan.

“Bagi projek pertama, kilang pemprosesan dan pembungkusan tuna dan ikan laut dalam pertama di Malaysia akan dibina di Sungai Lang.

“Pelabuhan pendaratan baharu untuk kapal besar yang berlayar di lautan Hindi serta ladang penternakan ikan dan ketam darat juga akan dibangunkan,” katanya di Facebook.

Menurut Amirudin, projek kedua ialah pelabuhan pendaratan ikan bersepadu di Sekinchan, yang dilengkapi sistem komprehensif untuk menjejaki asal usul, pemprosesan dan pengedaran setiap produk.

SABDA membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi berkeluasan 1,317 hektar, yang dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.


Pengarang :