Ketua Wanita Keadilan Fadhlina Sidek (tengah) bergambar tetamu yang hadir pada Majlis pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat (Klinik Bantuan Guaman) Wanita & AMK Keadilan di Dewan PJS 1/35, Petaling Jaya pada 22 JUN 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat sedia akses nasihat guaman percuma

PETALING JAYA, 22 JUN: Rakyat kini berpeluang mendapatkan bantuan dan nasihat guaman secara percuma melalui pelaksanaan Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fadhlina Sidek berkata projek berkenaan turut memastikan mereka mendapat nasihat dan pandangan guaman yang tepat daripada pakar.

“Ia juga adalah medan untuk mereka yang pakar berlatih menguruskan isu dalam masyarakat dan komuniti dengan lebih berkesan,” katanya yang memaklumkan projek berkenaan turut mendapat kerjasama Biro Guaman dan Undang-Undang Wanita KEADILAN, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) pusat dan Biro Guaman AMK Selangor.

Ketua Wanita Keadilan Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan pada Majlis pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat (Klinik Bantuan Guaman) Wanita & AMK Keadilan di Dewan PJS 1/35, Petaling Jaya pada 22 JUN 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN/ SELANGORKINI

Berucap pada Majlis Pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat di Dewan PJS 1/35 di sini hari ini, Fadhlina turut mengumumkan Wanita KEADILAN menyumbang RM20,000 bagi membantu gerak kerja projek berkenaan.

Sementara itu, Ketua Biro Guaman dan Undang-Undang Wanita KEADILAN Pusat Adawiyah Sulaiman berkata sebagai permulaan pelaksanaan projek berkenaan disasar di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum diperluas ke seluruh negara.

“Kita akan cuba turun ke setiap DUN dan buat advokasi bagi mereka yang memerlukan bantuan dan nasihat guaman berkaitan pelbagai isu termasuk keganasan rumah tanggan, jenayah dan hak pekerja gig.

“Jika tidak dapat berjumpa wakil kami pada setiap sesi advokasi, rakyat juga boleh melayari laman sesawang peguambelarakyat.com untuk memasukkan butiran dan kes mereka untuk bantuan,” katanya.

Ketua Wanita Keadilan Fadhlina Sidek (tengah) beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat (Klinik Bantuan Guaman) Wanita & AMK Keadilan di Dewan PJS 1/35, Petaling Jaya pada 22 JUN 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau berkata pihaknya juga memerlukan sukarelawan yang mahir berkaitan undang-undang dan khidmat guaman termasuk bagi memastikan lebih ramai dapat dibantu.

“Selain itu apabila disediakan secara percuma ia ada limitasi tertentu jadi seperti klinik bantuan guaman yang lain percuma itu dari segi khidmat nasihat dan pendapat undang-undang.

“Apabila sudah melibatkan perkhidmatan ia bergantung kepada peguam yang kendalikan sama ada akan dikenakan bayaran atau sebaliknya sebab kita tak boleh paksa bab itu, melainkan di masa depan ada peruntukan tertentu untuk itu,” katanya.


Pengarang :