Tangkap layar dari Saudi TV Live di Twitter menunjukkan jemaah haji seluruh dunia mulai membanjiri Bukit Arafah dan datarannya pada 8 Julai 2022
AGENSISELANGOR

Puasa hari Arafah ikut tarikh diputuskan negara masing-masing

SHAH ALAM, 28 JUN: Berpuasa pada hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah mengikut tarikh yang diputuskan negara masing-masing.

Timbalan Mufti Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris berkata ia berikutan setiap tempat adalah berbeza matla’ (tempat terbit) atau penampakan anak bulan.

“Perbezaan ketetapan hari raya dalam bulan Islam adalah disebabkan oleh perbezaan matla’ antara satu negara dengan negara lain iaitu tempat terbit anak bulan dalam penentuan awal bulan.

“Menurut mazhab Syafi’i perkiraannya adalah mengikut tempat kita berada dan hendaklah berpegang kepada keputusan yang diputuskan pemerintah tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Miszairi menjelaskan disebabkan perbezaan kedudukan antara Malaysia terletak di sebelah timur dan Arab Saudi di barat, berlaku perbezaan dalam isu penampakan anak bulan.

“Perbezaan tarikh bagi penetapan hari raya adalah perkara yang biasa berlaku manakala doa mustajab pada hari Arafah boleh dibuat sepanjang hari tersebut mengikut negara masing-masing tanpa dikhususkan waktu tertentu,” katanya.

Seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha pada setiap 10 Zulhijah mengikut kalendar Hijrah manakala sehari sebelum iaitu 9 Zulhijjah merupakan hari Arafah.

Justeru, mereka yang mengerjakan haji berwuquf di padang Arafah manakala umat Islam yang tidak menunaikan haji digalakkan berpuasa sunat hari Arafah.


Pengarang :