Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Razarudin dilantik ketua polis negara yang baharu, Ayob Khan timbalan

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 23 Jun ini, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang tamat perkhidmatannya esok.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), telah memperkenan pelantikan Razarudin secara kontrak selepas persaraannya, selama dua tahun sehingga 22 Jun 2025.

“Sepanjang perkhidmatan Razarudin dalam pasukan polis, beliau berpengalaman menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor, Razarudin, 61, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, memulakan karier pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat.

Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman; Timbalan Komander Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah) Bukit Aman; Ketua JSJ Pulau Pinang, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perak seterusnya menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun serta Timbalan Ketua Polis Negara mulai tahun 2021 sehingga kini.

Sementara itu, Saifuddin dalam kenyataan berasingan turut mengumumkan pelantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa mulai 23 Jun ini.

Katanya pelantikan itu juga telah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah selepas menerima nasihat Perdana Menteri atas perakuan SPP

Ayob Khan, 57, dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.

Beliau memulakan tugas pada tahun 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ketua Polis Johor dan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

– BERNAMA


Pengarang :