Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Reka bentuk, komponen Kompleks Sukan Shah Alam dimuktamad bulan depan

SHAH ALAM, 9 JUN: Fasa penelitian reka bentuk dan komponen pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sedang diteliti sebelum dimuktamadkan Julai depan.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau (MBI) memaklumkan penelitian dibuat hasil libat urus dan pameran awam untuk mendapatkan maklum balas pada Januari lalu.

“Ekoran daripada sesi libat urus tersebut, 98.7 peratus maklum balas yang diterima adalah positif,” kata Jabatan Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan semalam.

MBI menjelaskan cadangan pembangunan KSSA yang bermula sejak 2013 melalui proses amalan terbaik, telus dan rapi bersama pelbagai pihak sebelum dimuktamadkan.

Menurutnya, semua cadangan itu dinilai jururunding profesional dan dibentangkan kepada jawatankuasa penilaian MBI sebelum dibawa ke lembaga pengarah untuk kelulusan.

“Selari dengan etika amalan tadbir urus telus yang dipraktikkan MBI Selangor, projek berimpak tinggi seperti KSSA melalui tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“SOP tersebut menggariskan bahawa proses pemilihan syarikat pemaju adalah yang berkelayakan dan berpengalaman dalam membangunkan projek berskala besar,” kata jabatan itu.

Projek itu dijangka siap seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 melalui perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad tanpa menggunakan dana awam.

Pembangunan semula dibuat berikutan kos baik pulih dianggar menelan belanja RM787 juta. Antara 2013 hingga 2022, Sebanyak RM56 juta digunakan bagi menyelenggara dan membaiki kerosakan.


Pengarang :