Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan beg dan peralatan sekolah ketika program bantuan masuk sekolah ahli Tawas bagi sesi persekolahan darjah 1 tahun 2023 DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

RM1.28 juta diperuntuk bantuan persekolahan,  20,441 ahli TAWAS terima beg sekolah   

SHAH ALAM, 16 JUN: Seramai 20,441 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang lahir pada 2016 menerima bantuan persekolahan setakat ini.

Penolong pengurus komunikasi korporat Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) berkata bantuan beg sekolah bernilai RM50 itu bertujuan menceriakan kanak-kanak yang kini memasuki darjah satu.

“Secara keseluruhannya RM1.28 juta diperuntukkan YAWAS bagi menjayakan program Bantuan Masuk Sekolah ahli SiManja TAWAS.

“Agihan dibuat di pejabat YAWAS berbanding tahun sebelum ini melibatkan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Sharizan Mohd Shariff ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan terdapat kira-kira 5,000 ahli masih belum menuntut bantuan berkenaan dan boleh berbuat demikian di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini.

“Masih ada lebihan beg tidak dituntut, jadi kami buka semula peluang untuk ibu bapa datang ambil dari 22 Mei hingga 22 Jun ini,” katanya.

Pada 4 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan 44,484 ahli TAWAS seluruh negeri menerima bantuan persekolahan tahun ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan inisiatif itu bagi meringankan beban keluarga membuat persiapan sekolah anak masing-masing.


Pengarang :