Petugas membungkus daging untuk diagihkan kepada orang ramai sempena program Korban Perdana di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 11 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor antara tertinggi terima pemeriksa daging dari Jabatan Veterinar

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor antara negeri tertinggi menerima kehadiran kakitangan Jabatan Veterinar Malaysia selaku pemeriksa daging untuk ibadah korban tahun ini.

Melibatkan 50 pemeriksa, penolong pengarah seksyen keselamatan makanan hasilan ternakan berkata mereka ditempatkan di masjid untuk memantau tahap kebersihan daging korban.

“Secara keseluruhan, terdapat lebih 400 kakitangan ditugaskan. Selain Selangor, Terengganu dan Kelantan juga antara negeri paling tinggi menerima kehadiran pemeriksa daging.

Penolong Pengarah Seksyen Keselamatan Makanan Hasilan Ternakan Jabatan Veterinar Malaysia Dr Harizwan Thomeeran berucap pada Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Qurban (Pelapah) 1444H di Masjid Sulatan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Mereka akan memeriksa secara rawak dan pergi ke lokasi paling banyak buat penyembelihan. Jabatan Veterinar berharap semua pengendali dapat beri kerjasama,” kata Dr Harizwan Thomeeran.

Beliau ditemui pada Seminar Pemantapan Sembelihan Halal Korban (Pelapah) 1444H di Masjid Negeri di sini, yang dirasmikan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Pada masa sama, Dr Harizwan mengingatkan pengendali ibadah korban supaya mementingkan kebersihan sepanjang proses penyembelihan terutama ketika melapah untuk mengelak daging tercemar.

“Kalau boleh elakkan melapah lembu di atas rumput, tanah dan pasir supaya kebersihan terjaga dan tidak berlaku pencemaran secara fizikal, kimia dan biologi,” katanya.

Sementara itu, Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir berkata hukum ibadah korban adalah sunat muakkad iaitu perkara yang sangat dituntut bagi umat Islam dengan pengendali perlu menggunakan pisau tajam.

“Penggunaan pisau tajam mengikut syarak dan adab dalam Islam iaitu mematikannya (sembelih) sekali sahaja. Namun, dilarang mengasah pisau di hadapan haiwan korban,” katanya.

 


Pengarang :